KESOPANAN DAN KESUSILAAN





 Kesopanan dan kesusilaan adalah Rukun Negara yang kelima. Bagi generasi yang lupa, elok kita mengingatkan kembali sejarah kepada Rukun Negara ini. Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bersempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong keempat iaitu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

Rukun Negara diperkenalkan rentetan asas perpaduan kaum yang dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan pergaduhan dan rusuhan kaum khususnya di Kuala Lumpur. Antara sebab berlakunya peristiwa tersebut sebagaimana yang terpahat dalam sejarah ialah ‘perang mulut’ dan laungan-laungan yang membawa sentimen kaum dan agama yang telah mencetuskan ketegangan. Kita telah belajar dari sejarah hitam tersebut.

Namun demikian, peristiwa ini mungkin berulang jika segenap lapisan rakyat tidak menghayati prinsip kesopanan dan kesusilaan yang digariskan. Semua rakyat Malaysia, tidak kiralah yang memimpin dan yang dipimpin wajib mendokong prinsip ini bagi tujuan keamanan dan keharmonian negara.
Lebih-lebih lagi para pemimpin. Mereka seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik dalam bertutur kata dan berperi laku. Mereka hendaklah berhati-hati mengeluarkan perkataan secara lisan mahupun tulisan supaya tidak menganggu sentimen dan perasaan mana-mana kaum di Malaysia.
Adalah sesuatu yang merbahaya bagi negara untuk membiarkan pemimpin atau sesiapa sahaja saling mencela, saling menghina kerana akhirnya akan tercetus adalah kebencian dan api permusuhan yang boleh mencetuskan ketegangan.

Oleh sebab itu, prinsip kesopanan dan kesusilaan hendaklah diutamakan dan wajib dipertahankan. Sidang Parlimen juga diharapkan tidak menimbulkan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan ini. Tambahan pula, pemimpin bukan sahaja dipilih kerana pencapaian dan pengalaman, tetapi kerana keperibadian mereka. Pemimpin yang berperilaku sopan dan bertatasusila mampu bertindak mengikut situasi dan berupaya mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. Perilaku pemimpin juga memberi gambaran bagaimana imej sesebuah negara. Masyarakat luar akan melihat pemimpin sebagai wakil rakyat dan memandang tinggi pemimpin negara dalam menunjukkan nama baik negara di persada dunia.

No comments:

Post a Comment

RUKUN NEGARA

  Rukun Negara Jawi: ‏روکون نݢارا‎‎ ialah sebuah ideologi yang telah menjadi teras panduan dan gagasan kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentu...